Rabu, 17 Oktober 2012

Tips Menghias Rumah

Assalamualaikum dan selamat pagi...

Hari ini saya nak berkongsi cerita mengenai tip untuk menghias rumah... Al-maklum la kan kita ni kaum wanita semua perkara nak cantik dari segi pakaian, penampilan dan juga rumah... Kan 'Rumah ku Syurgaku' ;) Oleh itu saya ingin berkongsi la serba sedikit cara bagaimana untuk memastikan ruang rumah yang terhad juga boleh dihias cantik dan kemas mengikut warna tema pilihan hati...

8 Rahsia Hias Rumah 

1. Balance and harmony
Untuk dekorasi rumah anda, pentingkan keseimbangan dan keharmonian. Perabot, kemasan, dan aksesori harus seiring dengan skema dekorasi anda. Tetapi tidak bermaksud ia perlu serupa. Terlalu banyak yang serupa, hilanglah kreativiti anda.

2. Dekor rumah bukan bilik
Kerana keluasan terhad, hias rumah anda, bukan hanya bilik. Daripada pening memikirkan konsep hiasan bagi setiap bilik atau ruang, anda hanya perlu menghias keseluruhan dalaman rumah dengan tema, stail atau warna yang digemari untuk mendapatkan flow dekorasi anda. Cuba pilih warna dinding yang terang (bright and bold) untuk satu bilik. Psikologi warna dalam hiasan dalaman. Gunakan warna yang sama pada bedding set dalam bilik yang satu lagi. Kemudian hias ruang tamu dengan bantal kecil pada sofa atau hamparan (masih warna yang sama).

3. Kualiti dan jenama
Anda tidak perlukan setiap sudut dihiasi dengan perabot dan aksesori oleh pereka terkenal. Harga dan jenama tidak begitu penting. Cuma elakkan daripada menempatkan benda yang murah bersama yang mahal. Ia hanya menampakkan lagi 'murahnya' barang tersebut.

4. Kurang lebih baik
Semakin anda kurangkannya, semakin lebih anda akan dapat. Apa maksudnya?. Pemilihan dan aturan perabot dan aksesori hiasan yang kelihatan kemas, simple, tidak kira berapa kosnya, akan nampak lebih bergaya dan mahal. Kerana ia berkait rapat dengan ciri hiasan dalaman moden yang elegan.

5. Mix and Match
Ruang tamu anda yang dipenuhi dengan produk IKEA hanya akan kelihatan 'keterlaluan'. Adun dan padankan apa jua yang ada. Begitulah pakar hiasan dalaman melakukannya agar dekorasinya tampil lebih berkesan.

6. Kurangkan ukuran untuk lebih luas
Sesuaikan ukuran perabot dengan bilik. Jika bilik anda kecil, anda perlukan perabot bersaiz kecil juga. Apa yang anda boleh lakukan ialah menggantung lukisan atau artwork bersaiz besar untuk mencipta ilusi sebuah bilik yang luas. Namun anda tidak boleh gunakan trik yang sama ketika memilih perabot. Tip menjadikan ruang rumah kelihatan lebih besar.

7. Masa adalah segalanya
Sebaik sahaja melangkah ke kediaman baru anda, anda terus berfikir untuk membeli perabot dan aksesori bagi memenuhi ruang yang ada. Sabar...kemungkinan pencarian kali pertama anda akan gagal menemui apa yang diinginkan. Yang mana akhirnya, anda memilih sesuatu yang kurang sesuai untuk rumah anda. Atau anda terpaksa berbelanja lebih pada hari tersebut. Ambil masa sehingga anda jumpa yang benar-benar sesuai dengan citarasa dan kediaman anda.

8. Too funky is junky
Tidak salah dengan ciri funky. Warna yang striking, bentuk unik, selalu menarik pandangan. Ia akan jadi lambang citarasa anda dan mempunyai mesej yang tersendiri. Tetapi jangan over. Tonjolkan secara minima. Jika banyak sangat, jadi serabut atau semak. Contohnya, anda hanya perlu tempatkan salah satu koleksi pasu anda di ruang tamu. Bukan ke lebih unik?

Gambar-gambar hiasan dalaman yang saya suka...












Psikologi Warna Dalam Hiasan Dalaman

Sejak kebelakangan ini hobi dan minat saya lebih tertumpu kepada nak menghias dan mengemas rumah... Sekarang pun kalau saya pergi shopping mesti nak pergi ke zone barang-barang rumah dan kedai-kedai yang menjual aksesori rumah seperti Kaison, KK dan lain-lain... Rasanya kalau duduk lama-lama dalam kedai tu pun takpe sangat best ok... Kali ni saya juga nak berkongsi mengenai tema warna yang ingin dijadikan tema rumah...

Interior design colors

Warna adalah komponen penting dalam dunia hiasan dalaman. Bila memilih warna untuk rumah anda, secara semulajadinya, anda akan tertarik dan menyukai warna tertentu disebabkan bagaimana warna tersebut memberi kesan terhadap perasaan anda. Warna juga telah terbukti menghasilkan respon secara fizikal. Jadi, pertimbangkanlah psikologi warna semasa anda merancang skema warna untuk mana-mana ruang di dalam rumah anda. Maklumat ini mungkin ia dapat membantu anda memperoleh mood yang diingini.


BIRU, warna langit dan lautan, terkenal sebagai "warna kegemaran". Biru mencerminkan kepercayaan, tidak bergantung, dan komited. Ia sangat popular untuk bilik tidur, dan selalu digunakan untuk dekorasi pejabat. Banyak bilik tidur berwarna biru kerana warnanya tenang dan nyaman. Biru juga menggambarkan keamanan, kesejahteraan, dan selamat. Apa yang menarik untuk catatan anda, secara global warna biru ialah warna yang paling selamat digunakan. Biru mudah untuk dipadankan dengan banyak warna, dan sebab itulah skema warna biru selalu dipilih. Biru juga dikenali sebagai warna 'bersih'. Jadi ia sangat sesuai untuk bilik air dan ruang mencuci pakaian. Tetapi, penggunaan biru untuk bahagian dapur agak kurang berkesan.


KUNING menyerlahkan suasana tawa riang, kegembiraan, dan hari-hari indah. Seseorang yang dikelilingi warna kuning akan merasa lebih optimis. Tetapi berhati-hatilah dengan warna ini, jika tonanya keterlaluan. Kerana kuning lebih terserlah berbanding warna lain di sekelilingnya. Ia lebih mudah menyebabkan keletihan mata berbanding warna-warna lain. Kuning juga warna api dan kajian menunjukkan bayi mudah menangis di dalam bilik berwarna kuning terang.


HIJAU bermaksud semulajadi, subur, sihat dan muda. Dengan keseimbangan antara warna warna 'sejuk' dan 'hangat' (biru dan kuning), kehijauan semulajadi ini memperlihatkan rasa segar dan nyaman. Ciri semulajadi yang dimiliki juga membolehkan hijau sangat mudah dipadankan dengan warna lain. Ia selalu digunakan dalam hiasan untuk mendatangkan kesan nyaman. Hijau juga dikaitkan dengan iri hati, tuah, dan murah rezeki. Dan secara tradisi, dikenali sebagai warna keamanan.


MERAH ialah warna paling 'hangat' dan bertenaga dalam spektrum warna. Merah digunakan untuk merangsang badan dan fikiran, serta memperbaiki peredarannya. Jika anda ingin menarik perhatian seseorang, gunakanlah merah. Pastinya merah tidak sesuai untuk bilik si manja anda, tetapi sangat berkesan untuk membuat orang tertarik. Walaupun ia bukanlah pilihan untuk persekitaran yang tenang, merah kerap digunakan di ruang makan untuk merancakkan sesi borak sembang dan menambah daya tarikan di situ. Anda tidak digalakkan menggunakan merah secara keterlaluan, lebih baik dengan jumlah yang sedikit pada tempat yang sesuai. Merah juga boleh menampilkan ciri elegan dan menambah banyak karakter pada skema warna - sama ada tradisional mahu pun kontemporari.


UNGU dikatakan eksotik, kerana jarang atau luar biasa bagi warna alam semulajadi. Ia melambangkan raja, bangsawan, kerohanian, dan misteri. Ungu mengandungi keseimbangan unsur merah yang merangsang dan biru yang menenangkan. Kesan sesetengah tona ungu mungkin agak keterlaluan, tetapi penggunaan tona seperti pastel lavender untuk sebuah bilik boleh memberi rasa segar dan 'terangkat'. Dengan unsur raja dan mistik, ungu menggambarkan ciri kemewahan dan kekayaan. Warna ini juga boleh membantu minda dalam menyelesaikan masalah. Selain itu, ungu turut menjadi warna kegemaran bagi kebanyakan remaja perempuan.


MERAH JAMBU dikaitkan dengan keremajaan, dan keseronokan. Merah jambu ialah warna kegembiraan, ceria, dan adakalanya seperti 'bebas daripada sebarang masalah'. Ia dibayangkan sebagai warna romatik, dan rasa kelembutan. Warna merah jampu juga ialah warna yang tepat untuk cinta.


JINGGA, yang terhampir dengan merah, ialah warna berkait rapat dengan masa seronok, suka ria dan hari-hari yang bertenaga. Ia juga dikaitkan dengan keinginan. Kebiasaannya, berbanding warna-warna lain, terdapat kesan positif dan juga negatif yang kuat pada warna jingga, di mana warna jingga asli secara umumnya akan melahirkan rasa 'sangat suka' atau 'sangat benci' pada seseorang. Warna tersebut mampu memberi kesan yang baik pada tema kontemporari, tetapi bukannya pada tema tradisional. Pemilihannya untuk ruang dapur dan ruang makan boleh mewujudkan rasa yang lebih selesa.


COKLAT menyatakan kestabilan, kebolehpercayaan, setiakawan, dan senang didekati. Coklat ialah warna bumi (tanah) dan dikaitkan dengan semua unsur semulajadi dan organik. Ia juga mampu memberi suasana nyaman dan selesa. Coklat sesuai digunakan untuk ruang-ruang yang kerap menjadi tumpuan seperti ruang tamu. Coklat juga boleh dipadankan dengan warga 'garang' atau warna 'hangat'.


HITAM adalah persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri, dan mewah. Ia juga warna untuk kebijaksanaan, selain menunjukkan stail dan 'tak lekang dek zaman', dan satu warna penegasan yang cantik untuk hiasan dalaman. Hitam menonjolkan ciri 'serius' yang dapat membangkitkan emosi yang kuat. Ia mudah mengganggu sekiranya terlalu banyak warna hitam. Kecerahan hasil gabungan hitam dan putih lazimnya memperlihatkan ciri sangat moden.

PUTIH, walaubagaimana pun, menzahirkan ketulenan dan kesucian. Ia adalah gabungan semua warna yang ada di dalam spektrum warna. Ia juga digunakan untuk menghasilkan kesan 'tanpa warna', atau neutral.


KELABU ialah warna bagi intelek, berpengetahuan, dan bijaksana. Ia diertikan sebagai tahan lama, klasik, dan selalu juga sebagai licin atau halus. Ia juga lebih bersifat konservatif dan membawa maksud berkuasa. Kelabu juga dianggap sebagai warna yang boleh bertolak ansur, mungkin kerana kedudukannya di antara hitam dan putih. Kelabu adalah warna neutral yang sempurna, di mana para pereka selalu menggunakannya sebagai warna bagi latar belakang. Sedikit sentuhan warna kelabu berguna untuk mendapatkan mood yang mantap, tetapi, terlalu banyak warna kelabu, hanya akan menimbulkan rasa 'kosong'.